Navigation


RSS : Articles / Comments


KITA SEDANG MENUJU REVOLUSI?

Selasa, Februari 10, 2009, Posted by mr. admin, 3 Comments

Hakikat kejatuhan Kerajaan Perak di bawah Pakatan Rakyat hari ini adalah disebabkan permainan kotor oleh pihak yang rakus, haloba dan rakus dengan kuasa. Walaupun ada pihak yang cuba menafikan fakta ini, namun rakyat tidak buta dan pekak. Mungkin bagi mereka yang masih mempercayai media utama di negara ini sebagai ’kitab panduan’ dan ’pedoman hidup’ sahaja cuba menafikan semua ini.

Persoalannya sekarang, apakah negara kita sedang menuju kepada cara pembentukan kerajaan baru melalui revolusi?

Pelbagai pihak telah memberi pendapat tentang penubuhan kerajaan baru Perak secara perundangannya atau tidak. Ada yang mengatakan ia sah dari segi undang-undang. Ada yang kata ia perlu ditentukan oleh rakyat melalui pilihanraya. Dan ada juga yang kata mengatakan keputusan Sultan Perak tidak perlu dipertikai.

Secara peribadi, saya berpendapat segalanya harus dipulangkan semula kepada rakyat. Dalam kata lain, biar rakyat yang menentukan melalui peti-peti undi kerana ini merupakan hak rakyat yang telah dijamin dalam perlembagaan. Rakyat Perak sahaja yang berhak menentukan kerajaan mana yang bakal dipilih dan bukan ditentukan melalui jalan belakang dalam istana.

Apa asas perlu diadakan pengundian semula?

Rasanya tidak perlu saya huraikan apa itu demokrasi. Saya kira, kita semua telah memahaminya secara asas walaupun tidak mendalam. Cukup dengan hanya memahami, pihak yang mendapat sokongan paling banyak dikira berhak menerajui sesebuah organisasi.

Malangnya, apa yang telah berlaku di Perak adalah sebaliknya. Kerajaan Pakatan tumbang bukan melalui undi rakyat tetapi melalui cara melompat oleh wakil rakyat yang dipilih.

Apa hak wakil rakyat yang dipilih melompat? Setelah rakyat memilih seseorang calon, asasnya rakyat memilihnya kerana bertanding atas tiket parti, bukan individu. Walaupun ada rakyat yang memberi undi berdasarkan calon, saya kira itu mauduk lain yang boleh dibincangkan. Tetapi, secara keseluruhannya rakyat memilih atas dasar parti kerana parti yang berjaya menguasai Dewan Rakyat itu nanti akan menentukan dasar-dasar sesebuah negara.

Bersandarkan kepada hujah di atas, apabila seseorang wakil rakyat telah melompat secara automatik ia sebenarnya telah berubah warna atau keluar dari pasukan yang diwakilinya. Hakikatnya, dia terpilih berdasarkan pasukan yang diwakilinya.

Revolusi alternatif kepada demokrasi tempang?

Pandangan saya, sekiranya perkara ini terus dibiarkan tidak mustahil akan berlaku satu gelombang kebangkitan rakyat atau lebih mudah disebut sebagai revolusi atau reformasi. Menifestasi kepada rasa ketidakpuasan hati yang telah meluap-luap.

Apabila kepercayaan rakyat sudah mulai musnah dan hancur melalui saluran demokrasi, saya khuatir rakyat akan turun ke jalanraya menyatakan bantahan. Bayangkan dalam jumlah jutaan rakyat yang keluar berarak, mampukah pihak keselamatan mengawal keadaan melalui FRU dan polis? Tidak mustahil akan berlaku pertumpahan darah!

Kita semua tidak mahu berlaku sebarang ketidaktentuan, huru-hara seperti yang telah Thailand dan Indonesia. Biarlah kita sama-sama menentukan secara aman dan boleh diterima oleh semua pihak.

Tetapi, adakah pihak pemerintah sekarang sanggup menghadapi pertandingan dalam suasana yang seimbang bagi kedua-dua pihak? Bolehkah ruang dalam media utama dibuka seluas-luasnya untuk parti-parti yang bertanding? Beranikah kita semua menyediakan satu bentuk kawalan terhadap aktiviti lompat parti di kalangan wakil rakyat?

Adalah tidak adil untuk mengatakan melompat parti adalah halal sekiranya ia memberikan faedah kepada pihak kita dan haram sekiranya ia merugikan. Tidak kira dari mana-mana pihak, melompat ini seharusnya diharamkan dan satu mekanisme perlu diperkenalkan untuk membendung perkara ini. Perkara ini perlulah difikirkan oleh pihak yang berkenaan.

Suburkan demokrasi.

Demokrasi yang subur, telus dan adil akan menjadi pemangkin kepada kestabilan politik sesebuah negara. Pernahkah kita melihat rakyat Amerika atau Britain turun berdemontrasi akibat tidak puas hati dengan pengendalian pilihanraya di sana? Sudah tentu tidak.

Saya tidak berniat mengatakan mereka baik dalam serba-serbi, tapi tidak salah jika kita jadikan ia sebagai satu penandaaras yang harus kita capai dalam amalan demokrasi di negara tercinta ini.

LEBIH DARI DERHAKAKAN TUHAN?

Jumaat, Februari 06, 2009, Posted by mr. admin, 2 Comments

Sejak berkurun dulu, orang Melayu memang sudah terkenal dengan ketaatan kepada sultan dan rajanya. Hanya terdapat beberapa insiden sahaja yang melibatkan 'pertembungan' antara sultan dan rakyatnya. Di antaranya ialah trajedi Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan amukan Hang Jebat yang mempertikai Sultan Melaka pada masa itu terhadap hukuman bunuh ke atas Hang Tuah. Maka lahirlah kata-kata, "raja adil, raja disembah. Raja zalim, raja disanggah."

Namun, dalam kes Mantan MB Perak, Dato' Seri Nizar yang mempersembahkan sembah derhakanya berikutan keputusan Sultan Perak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri, media terus melaporkan dan memberi gambaran yang cukup negatif seolah-olah ia adalah satu dosa yang maha besar terhadap baginda. Bagaikan derhakan seorang hamba kepada Tuhan-Nya!

Saya tak melihat tindakan sembah derhaka tu perlu diperbesarkan. Lagipun, ia dilakukan dengan penuh beradab dan tutur bicara yang bersopan. Berikut adalah warkah Dato' Seri Nizar kepada Sultan Perak:
5 Februari 2009

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah Paduka Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum
Ampuan Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Suhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampuan Tuanku,

MERAFA' SEMBAH MEMAKLUMKAN PERKEMBANGAN TERKINI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Patik merafa' sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Mah Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:

1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council". Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahaw Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun. YB Yang Dipertua Dewan Undangan

Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga Adun berkenaan bukannya Adun untuk kawasan-kawasan tersebut, di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Ampuan Tuanku,

Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demnokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa' sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Ampuan Tuanku,

Patik dengan ini merafa' sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.

Ampuan Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagian yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal 'Alamin

Ampun Tuanku,

Patik dengan segala hormat takzimnya; bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat.

YAB Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

Malangnya apabila menonton berita malam ni, gambaran yang diberikan seperti seorang penderhaka yang perlu dijatuhkan hukuman pancung sampai mati! Ditambah pula dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin BN. Oh, sungguh tak adil!

PKR LUKAI HATI PENYOKONG PAS?

Rabu, Februari 04, 2009, Posted by mr. admin, One Comment


"Wei, ramainya yang jadi katak kat Perak ni!" Satu SMS saya kirimkan kepada seorang kawan saya di Parit Buntar.

Tak lama lepas tu, kawan saya tu membalas, "Ni yang aku kurang percaya dengan depa ni."

Dari dialog di atas, secara tak langsung ia menggambarkan kekecewaan yang dialaminya berhubung tindakan dua adun PKR Perak Melompat parti. Maklumlah, dia merupakan pejuang kecil PAS di kawasannya. Lebih menyakitkan hati katanya, apabila melihat tindakan yang sama dilakukan oleh Adun Jelapang serta Adun Bota yang kembali menjilat muntahnya!

Ramai munafik dalam Pakatan Rakyat?

Tindakan 'berhijrah' ini sebenarnya menyerlahkan tanggapan sesetengah pihak bahawa mereka ni berjuang bukan untuk membela nasib rakyat. Sebenarnya lebih kepada kepentingan survival politik sendiri. Malah tak keterlaluan jika dikatakan untuk perut, perut dan perut sendiri!

Saya tak mahu menuduh dalam parti mana terdapatnya ramai makhluk dua alam ni. Rasanya anda boleh fikirkan sendiri.

Maknanya, tindakan YB yang melompat tu menggambarkan ketidakupayaan mereka menghayati erti sebenar pejuang rakyat, pahit getir yang dilalui untuk merintis jalan kepada penyatuan pakatan ini. Tidakkah mereka sedar bahawa perjuangan yang dilalui ini dibayar dengan kos yang amat tinggi - darah, harta dan air mata!

Ada sinar dihujung gelita?

Walaupun keadaan ini menggundang keadaan resah yang mengusutkan bagi Pakatan Rakyat, nun jauh dihujung sana mungkinkah ada sinar?

Kita tahu, sebelum ini apabila Dato' Seri Anwar mendakwa akan ada wakil rakyat BN yang akan menyeberang, maka timbullah kenyataan daripada pemimpin BN yang mengecam dengan mengatakan tindakan tersebut mengkhianati amanah rakyat. Tapi hari ni, apabila ada YB dari Pakatan Rakyat yang melompat kepada mereka, tak ada pula kecaman walau secubit. Tidakkah ini satu pengkhianatan? Adakah ia suatu yang halal bagi pihak BN tapi haram bagi Pakatan Rakyat?

Jadi, sekiranya selepas ini ada wakil rakyat BN yang melompat, mereka dah tiada point nak kata ia satu pengkhianatan. Sebab mereka sendiri yang mengajarnya.

Kita masih ingat bagaimana BN 'membeli' wakil rakyat PBS yang berkuasa Sabah pada era 90-an dulu . Sehingga Kerajaan Sabah di bawah PBS rebah melalui modus operandi yang sama.

Sesungguhnya, apa yang berlaku ini telah direncanakan oleh Allah taala. Mana tahu, akan ada penyeberangan beramai-ramai wakil rakyat BN ke dalam Pakatan Rakyat kerana isu mengkhianati penggundi sudah tiada! Sekaligus membuka jalan penubuhan kerajaan pusat yang baru. Siapa tahu?!

GELORA DI PERAK: Mampukah PR Mengharunginya?

Ahad, Februari 01, 2009, Posted by mr. admin, One Comment

Memang kecoh sehari dua ni dengan kisah dua Exco Kerajaan Negeri Perak yang dilaporkan 'diculik'. Kehilangan keduanya memang menjadi tanda tanya dikalangan keluarga dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Akhirnya, persoalan itu terjawab apabila dilaporkan, keduanya telah meletak jawatan sebagai adun dan membolehkan satu pilihanraya kecil dijalankan dalam tempoh 60 hari. Hai, pilihanraya lagi ke?!

Persoalannya, apakah perletakkan jawatan ini disebabkan adanya tekanan dari pihak tertentu bersabit pertuduhan rasuah yang dihadapi oleh mereka berdua? Diulangi, pertuduhan, bukan lagi disabitkan kesalahan rasuah. Maknanya tak tau betul ke tak mereka bersalah!

Jika ada yang menekan, siapakah gerangan makhluk yang membuat tekanan tu? Apa tujuannya? Adakah ada muslihat untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di sana?

Terlalu banyak persoalan yang timbul sekarang. Antaranya, adakah kedua exco telah dijanjikan habuan dunia sehingga gelap biji mata?

Sekiranya benar keduanya telah disogok, saya rasa kepimpinan PKR harus lebih berhati-hati dalam memilih calon mewakili parti itu di masa akan datang. PKR juga kena belajar bagaimana PAS mentarbiyah wakil rakyatnya yang tidak tergoda dengan habuan duniawi ni. Asasnya, PAS berjaya mempertahankan Kerajaan Kelantan dengan majoriti satu kerusi selepas Pilihanraya Umum 2004 dan Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir 2005. Maklumat yang diperolehi, wakil rakyat PAS ketika itu telah ditawarkan dengan habuan yang cukup lumayan jika bertindak melompat parti. Namun, tawaran tu tidak mendapat tempat dihati wakil rakyat PAS di Kelantan yang telah ditarbiyah oleh Tok Guru Nik Aziz.

Dalam kes exco Perak ni, saya tak taulah sama ada mereka disogok atau sebaliknya. Tak mahulah saya buat apa-apa tuduhan. Cuma andaian saja.

Apapun, kita tunggu sajalah drama yang semakin menarik di Perak ni! Semoga Allah menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat, amin.