
Saya kira Ramadhan kali ini adalah yang terakhir buat saya sepanjang berada di UTM, Skudai. Insyaallah, bulan November ni saya akan menamatkan pengajian saya di sini. Sekejap je rasa, dah nak tamat pengajian saya di sini. Rasanya seperti baru semalam mendaftarkan diri.

Jadi, saya mengambil kesempatan kali ini untuk berbuka puasa beramai-ramai di Masjid Sultan Ismail petang semalam. Seronok berbuka ramai-ramai di masjid ni. Kesyahduan dan barakahnya jauh lebih hebat berbanding berbuka di hotel-hotel besar.
Selain tu, berbuka di masjid ni menjadikan kita lebih merendah diri. Dengan keadaannya yang ramai, bersesak, terasa seperti sebuah perhimpunan mini di Arafah. Semuanya sama, tiada pangkat yang dibawa bersama. Hanya ketaqwaan menjadi pemisah sesama insan.

Nasi minyak berlauk ayam, berkuah kari daging, 3 biji kurma, sebiji buah lai dan sebotol air. Bekalan buat bertarawih!
Bukan nak kondem orang yang berbuka di hotel-hotel mewah. Tapi kelainan berbuka di masjid ni hanya dapat dirasai bagi mereka yang berkesempatan menghadirinya. Makanannya tidaklah terlalu mewah, tapi cukup enak dan menyelerakan. Tambahan pula dengan perut yang kosong!

Sedih juga nak tinggalkan kenangan indah ini. Hanya memori indah ini sahaja yang akan terus terpahat dalam ingatan selagi hayat dikandung badan.