Navigation


RSS : Articles / Comments


Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

NIZAR vs ZAMBRY...Pemenangnya ialah....

Isnin, Mei 11, 2009, Posted by mr. admin, One Comment

Aku rasa ramai yang dah tahu berita pasal keputusan mahkamah yang mengisytiharkan Dato' Seri Ir Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Entry ni sekadar menempel diruang maya bagi menyatakan pendapat blogger bebas seperti aku.

Memang sejak dari awal cara BN merampas Kerajaan Perak bakal mengundang pelbagai masalah. Matlamat yang menghalalkan cara akhirnya bakal memakan diri apabila mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada Pakatan Rakyat.

Nak cakap banyak-banyak pun tak guna. Kita tunggu sajalah episod seterusnya dalam 'filem' rampasan kuasa Kerajaan Perak ala-ala Menteri Fasola mengkhianati Kerajaan Negeri Pasir Dua Butir. Ehm, pandai P.Ramlee. Macam tau-tau je akan berlaku kat Malaysia seperti yang termaktub dalam filem Laksamana Do Re Mi.

Sumber gambar : http://www.Bharian.com.my

Persoalannya sekarang...

Adakah Sultan Perak akan memperkenankan pembubaran Dun Perak? Adakah mahkamah akan melayan rayuan oleh BN untuk mengenepikan keputusan hakim hari ini? Atau......?!

Marilah kita tungguuuuu.... Best betul filem ni!

PKR, PAS punca Raja dihina?

Selasa, Mac 03, 2009, Posted by mr. admin, 3 Comments

Kadang-kadang geli hati bila mendengar komen dari Dato' Seri Mohd Ali Rustam. Adakah dia tak menoleh ke belakang melihat sejarah yang telah tercipta sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan? Cuba baca artikel di bawah ni.

KUALA LUMPUR: Krisis politik ketika ini terutama yang membabitkan Raja dan orang Melayu dihina berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Pas.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata pemimpin DAP seperti Pengerusinya, Karpal Singh dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Dr Boo Cheng Hau, semakin lancang menghina Melayu.... Klik di sini untuk membaca sambungan artikel ni.

Bila fikir balik apa yang diperkatakan oleh Dato' Seri Ali Rustam, betul ke?
Dulu sapa yang kata 'Natang' kat Sultan Terengganu?
Sapa plak yang menghapuskan kuasa Raja-raja melalui krisis Perlembangaan?

Lu pikir la sendiri!

KITA SEDANG MENUJU REVOLUSI?

Selasa, Februari 10, 2009, Posted by mr. admin, 3 Comments

Hakikat kejatuhan Kerajaan Perak di bawah Pakatan Rakyat hari ini adalah disebabkan permainan kotor oleh pihak yang rakus, haloba dan rakus dengan kuasa. Walaupun ada pihak yang cuba menafikan fakta ini, namun rakyat tidak buta dan pekak. Mungkin bagi mereka yang masih mempercayai media utama di negara ini sebagai ’kitab panduan’ dan ’pedoman hidup’ sahaja cuba menafikan semua ini.

Persoalannya sekarang, apakah negara kita sedang menuju kepada cara pembentukan kerajaan baru melalui revolusi?

Pelbagai pihak telah memberi pendapat tentang penubuhan kerajaan baru Perak secara perundangannya atau tidak. Ada yang mengatakan ia sah dari segi undang-undang. Ada yang kata ia perlu ditentukan oleh rakyat melalui pilihanraya. Dan ada juga yang kata mengatakan keputusan Sultan Perak tidak perlu dipertikai.

Secara peribadi, saya berpendapat segalanya harus dipulangkan semula kepada rakyat. Dalam kata lain, biar rakyat yang menentukan melalui peti-peti undi kerana ini merupakan hak rakyat yang telah dijamin dalam perlembagaan. Rakyat Perak sahaja yang berhak menentukan kerajaan mana yang bakal dipilih dan bukan ditentukan melalui jalan belakang dalam istana.

Apa asas perlu diadakan pengundian semula?

Rasanya tidak perlu saya huraikan apa itu demokrasi. Saya kira, kita semua telah memahaminya secara asas walaupun tidak mendalam. Cukup dengan hanya memahami, pihak yang mendapat sokongan paling banyak dikira berhak menerajui sesebuah organisasi.

Malangnya, apa yang telah berlaku di Perak adalah sebaliknya. Kerajaan Pakatan tumbang bukan melalui undi rakyat tetapi melalui cara melompat oleh wakil rakyat yang dipilih.

Apa hak wakil rakyat yang dipilih melompat? Setelah rakyat memilih seseorang calon, asasnya rakyat memilihnya kerana bertanding atas tiket parti, bukan individu. Walaupun ada rakyat yang memberi undi berdasarkan calon, saya kira itu mauduk lain yang boleh dibincangkan. Tetapi, secara keseluruhannya rakyat memilih atas dasar parti kerana parti yang berjaya menguasai Dewan Rakyat itu nanti akan menentukan dasar-dasar sesebuah negara.

Bersandarkan kepada hujah di atas, apabila seseorang wakil rakyat telah melompat secara automatik ia sebenarnya telah berubah warna atau keluar dari pasukan yang diwakilinya. Hakikatnya, dia terpilih berdasarkan pasukan yang diwakilinya.

Revolusi alternatif kepada demokrasi tempang?

Pandangan saya, sekiranya perkara ini terus dibiarkan tidak mustahil akan berlaku satu gelombang kebangkitan rakyat atau lebih mudah disebut sebagai revolusi atau reformasi. Menifestasi kepada rasa ketidakpuasan hati yang telah meluap-luap.

Apabila kepercayaan rakyat sudah mulai musnah dan hancur melalui saluran demokrasi, saya khuatir rakyat akan turun ke jalanraya menyatakan bantahan. Bayangkan dalam jumlah jutaan rakyat yang keluar berarak, mampukah pihak keselamatan mengawal keadaan melalui FRU dan polis? Tidak mustahil akan berlaku pertumpahan darah!

Kita semua tidak mahu berlaku sebarang ketidaktentuan, huru-hara seperti yang telah Thailand dan Indonesia. Biarlah kita sama-sama menentukan secara aman dan boleh diterima oleh semua pihak.

Tetapi, adakah pihak pemerintah sekarang sanggup menghadapi pertandingan dalam suasana yang seimbang bagi kedua-dua pihak? Bolehkah ruang dalam media utama dibuka seluas-luasnya untuk parti-parti yang bertanding? Beranikah kita semua menyediakan satu bentuk kawalan terhadap aktiviti lompat parti di kalangan wakil rakyat?

Adalah tidak adil untuk mengatakan melompat parti adalah halal sekiranya ia memberikan faedah kepada pihak kita dan haram sekiranya ia merugikan. Tidak kira dari mana-mana pihak, melompat ini seharusnya diharamkan dan satu mekanisme perlu diperkenalkan untuk membendung perkara ini. Perkara ini perlulah difikirkan oleh pihak yang berkenaan.

Suburkan demokrasi.

Demokrasi yang subur, telus dan adil akan menjadi pemangkin kepada kestabilan politik sesebuah negara. Pernahkah kita melihat rakyat Amerika atau Britain turun berdemontrasi akibat tidak puas hati dengan pengendalian pilihanraya di sana? Sudah tentu tidak.

Saya tidak berniat mengatakan mereka baik dalam serba-serbi, tapi tidak salah jika kita jadikan ia sebagai satu penandaaras yang harus kita capai dalam amalan demokrasi di negara tercinta ini.

PKR LUKAI HATI PENYOKONG PAS?

Rabu, Februari 04, 2009, Posted by mr. admin, One Comment


"Wei, ramainya yang jadi katak kat Perak ni!" Satu SMS saya kirimkan kepada seorang kawan saya di Parit Buntar.

Tak lama lepas tu, kawan saya tu membalas, "Ni yang aku kurang percaya dengan depa ni."

Dari dialog di atas, secara tak langsung ia menggambarkan kekecewaan yang dialaminya berhubung tindakan dua adun PKR Perak Melompat parti. Maklumlah, dia merupakan pejuang kecil PAS di kawasannya. Lebih menyakitkan hati katanya, apabila melihat tindakan yang sama dilakukan oleh Adun Jelapang serta Adun Bota yang kembali menjilat muntahnya!

Ramai munafik dalam Pakatan Rakyat?

Tindakan 'berhijrah' ini sebenarnya menyerlahkan tanggapan sesetengah pihak bahawa mereka ni berjuang bukan untuk membela nasib rakyat. Sebenarnya lebih kepada kepentingan survival politik sendiri. Malah tak keterlaluan jika dikatakan untuk perut, perut dan perut sendiri!

Saya tak mahu menuduh dalam parti mana terdapatnya ramai makhluk dua alam ni. Rasanya anda boleh fikirkan sendiri.

Maknanya, tindakan YB yang melompat tu menggambarkan ketidakupayaan mereka menghayati erti sebenar pejuang rakyat, pahit getir yang dilalui untuk merintis jalan kepada penyatuan pakatan ini. Tidakkah mereka sedar bahawa perjuangan yang dilalui ini dibayar dengan kos yang amat tinggi - darah, harta dan air mata!

Ada sinar dihujung gelita?

Walaupun keadaan ini menggundang keadaan resah yang mengusutkan bagi Pakatan Rakyat, nun jauh dihujung sana mungkinkah ada sinar?

Kita tahu, sebelum ini apabila Dato' Seri Anwar mendakwa akan ada wakil rakyat BN yang akan menyeberang, maka timbullah kenyataan daripada pemimpin BN yang mengecam dengan mengatakan tindakan tersebut mengkhianati amanah rakyat. Tapi hari ni, apabila ada YB dari Pakatan Rakyat yang melompat kepada mereka, tak ada pula kecaman walau secubit. Tidakkah ini satu pengkhianatan? Adakah ia suatu yang halal bagi pihak BN tapi haram bagi Pakatan Rakyat?

Jadi, sekiranya selepas ini ada wakil rakyat BN yang melompat, mereka dah tiada point nak kata ia satu pengkhianatan. Sebab mereka sendiri yang mengajarnya.

Kita masih ingat bagaimana BN 'membeli' wakil rakyat PBS yang berkuasa Sabah pada era 90-an dulu . Sehingga Kerajaan Sabah di bawah PBS rebah melalui modus operandi yang sama.

Sesungguhnya, apa yang berlaku ini telah direncanakan oleh Allah taala. Mana tahu, akan ada penyeberangan beramai-ramai wakil rakyat BN ke dalam Pakatan Rakyat kerana isu mengkhianati penggundi sudah tiada! Sekaligus membuka jalan penubuhan kerajaan pusat yang baru. Siapa tahu?!

GELORA DI PERAK: Mampukah PR Mengharunginya?

Ahad, Februari 01, 2009, Posted by mr. admin, One Comment

Memang kecoh sehari dua ni dengan kisah dua Exco Kerajaan Negeri Perak yang dilaporkan 'diculik'. Kehilangan keduanya memang menjadi tanda tanya dikalangan keluarga dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Akhirnya, persoalan itu terjawab apabila dilaporkan, keduanya telah meletak jawatan sebagai adun dan membolehkan satu pilihanraya kecil dijalankan dalam tempoh 60 hari. Hai, pilihanraya lagi ke?!

Persoalannya, apakah perletakkan jawatan ini disebabkan adanya tekanan dari pihak tertentu bersabit pertuduhan rasuah yang dihadapi oleh mereka berdua? Diulangi, pertuduhan, bukan lagi disabitkan kesalahan rasuah. Maknanya tak tau betul ke tak mereka bersalah!

Jika ada yang menekan, siapakah gerangan makhluk yang membuat tekanan tu? Apa tujuannya? Adakah ada muslihat untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di sana?

Terlalu banyak persoalan yang timbul sekarang. Antaranya, adakah kedua exco telah dijanjikan habuan dunia sehingga gelap biji mata?

Sekiranya benar keduanya telah disogok, saya rasa kepimpinan PKR harus lebih berhati-hati dalam memilih calon mewakili parti itu di masa akan datang. PKR juga kena belajar bagaimana PAS mentarbiyah wakil rakyatnya yang tidak tergoda dengan habuan duniawi ni. Asasnya, PAS berjaya mempertahankan Kerajaan Kelantan dengan majoriti satu kerusi selepas Pilihanraya Umum 2004 dan Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir 2005. Maklumat yang diperolehi, wakil rakyat PAS ketika itu telah ditawarkan dengan habuan yang cukup lumayan jika bertindak melompat parti. Namun, tawaran tu tidak mendapat tempat dihati wakil rakyat PAS di Kelantan yang telah ditarbiyah oleh Tok Guru Nik Aziz.

Dalam kes exco Perak ni, saya tak taulah sama ada mereka disogok atau sebaliknya. Tak mahulah saya buat apa-apa tuduhan. Cuma andaian saja.

Apapun, kita tunggu sajalah drama yang semakin menarik di Perak ni! Semoga Allah menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat, amin.

SEMBANG LEPAS PILIHANRAYA KECIL

Ahad, Januari 18, 2009, Posted by mr. admin, 2 Comments

Setelah berhari-hari berhempas pulas menyusun strategi, memberi penerangan dan berkempen, akhirnya rakyat Kuala Terengganu membuat keputusan dengan memberi kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Rakyat Kuala Terengganu telah membuat suatu swing yang mungkin menjadi tanda-tanda Empayar BN-UMNO akan roboh tidak lama lagi. Menurut sesetengah blogger, swing vote yang dilakukan lebih kurang 5%, seperti yang dinyatakan dalam edyesdotcom.

Apa komen pemimpin BN? Biasala, antara ayat penyedap hati yang selalu dilontarkan tatkala tewas ialah, "ini membuktikan demokrasi tetap subur di Malaysia."

Boleh terima ke kata-kata macam tu? Dengan BN diberi peluang menggunakan segala media utama serta jentera kerajaan untuk berkempen, tanpa memberi ruang dan luang yang cukup kepada pembangkang untuk berkempen, dan itu dikatakan demokrasi Malaysia subur? Oh, suburnya!

Selain tu, undi pos juga sering menjadi tanda tanya dari segi ketelusannya di kalangan parti-parti pembangkang. Bayangkanlah, dalam karung undi pos di Kuala Terengganu semalam, lebih 1000 undi memihak kepada BN. Hanya 86 undi sahaja memihak kepada calon PAS. Logik ke? Mungkin ada yang mengatakan ia tidak mustahil. Tapi dengan keadaan sekarang ni, kuat sangat ke sokongan anggota polis dan tentera kepada BN? Hanya Allah yang tahu.

Secara peribadi, saya yakin jika demokrasi benar-benar telus, BN akan mengalami kekalahan yang lebih teruk dari itu. Apapun, sehebat mana perancangan yang dibuat oleh manusia untuk membuat tipu helah, namun ia tidak dapat menandingi perangcangan dari langit!

Lain-lain ulasan pilihanraya Kuala Terengganu:

Rakyat sudah sedia berubah bantulah
Mahathir mula bodek Najib

DIALAH SEORANG MB...

Jumaat, Disember 12, 2008, Posted by mr. admin, 13 Comments

Presiden Kesatuan Eropah,Marc Barety melahirkan rasa kagum di atas corak pentadbiran yang diamalkan oleh pimpinan Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz di negeri Kelantan. Beliau berkata demikian, ketika mengetuai seramai 14 peserta lawatan sambil belajar terdiri daripada Duta dan wakil kesatuan Eropah (EU) yang berkunjung ke negeri Kelantan baru-baru ini...baca selanjutnya.

Beliau hanya dipanggil 'Nik Aziz' oleh musuh politiknya. Tak kiralah sama ada musuh itu berada diperingkat tertinggi parti atau hanya di peringkat akar umbi sahaja. Bagi kita menyanjunginya, gelaran 'Nik Aziz' tidak sepadan dengan ketinggian ilmu dan kewarakan yang dimiliki. Maka, sebagai pengiktirafan kita menggelarkannya Tok Guru atau Tuan Guru Nik Aziz walaupun panggilan itu tidak pernah diminta oleh insan sezuhudnya.

Buat mereka yang telah mengenalinya secara rapat, apatah lagi yang menyokong kuat pentadbiran yang diterajui oleh Ulamak tersohor ini, pengiktirafan telah lama diberikan secara ikhlas nun jauh disudut hati. Dengan perwatakannya yang zuhud, lemah lembut tapi tegas, ucapannya sedap didengar walaupun terkadang tajam bak belati, maka tiada lagi pengiktirafan paling tinggi yang wajar diberikan hanyalah dengan menggelarkannya dengan panggilan 'Tok Guru'. Kalau di Iran mungkin beliau setaraf 'Ayatollah-ayatollah' walaupun perbandingan itu tak cocok bagi kita yang menganuti fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Melihat kepada gaya hidupnya, cara beliau berpakaian, tak siapa pun menyangka itulah Menteri Besar Kelantan yang telah 18 tahun mentadbir Negeri Cik Siti Wan Kembang. Pergilah ke rumahnya di Pulau Melaka, Kelantan. Penulis sendiri telah ke sana ketika belajar di Kuala Terengganu dahulu. Hampir menitis air mata bila melihat rumah papan yang terbina bersebelah dengan masjid. Tiada pagar indah yang menghiasi pintu masuk ke kediamannya. Apatah lagi lampu neon yang bergemerlapan, tentu jauh sekali. Kadang-kala, dipinggir tangga rumah Tok Guru, kelihatan ayam itik tumpang bertenggek. Tak ada pengawal yang menghalaunya.

Hari ini Lim Guan Eng baru bercakap pasal Khalifah Umar Ibnu Aziz, salah seorang Khalifah terulung pada era pemerintahan Bani Umaiyyah. Tanpa kita sedar, kita telah lama memiliki seorang pemimpin yang seakan-akan Umar Ibnu Aziz walaupun sukar untuk dibandingkan keduanya. Namun, apa yang jelas terpampang di depan mata dan apa yang terkisah dalam helaian-helaian sejarah lama, cara hidup Tok Guru Nik Aziz saling tak tumpah seperti Umar Ibnu Aziz. Kenapa kita tak dapat melihatnya?

Walau apapun penghinaan yang diberikan kepada beliau oleh Mantan Perdana Menteri satu ketika dulu, namun dialah tetap Tok Guru yang disanjungi. Bukan berniat untuk mendewa-dewakan sesama insan, penulisan ini digarap untuk menyatakan sokongan kepada seorang tokoh yang banyak berjasa sama ada dari segi ilmu agama ataupun dalam bentuk pemerintahan. Walaupun sesetengah pihak mendakwa Kerajaan Tok Guru tak buat apa-apa sepanjang pemerintahannya. Tak salah rasanya menyebarluaskan sesuatu kebaikan untuk dimanfaatkan oleh insan lain.

Nah, hari ini Tok Guru kita menerima pengiktirafan lagi.Kalau tak percaya, bacalah di sini.

Semoga Allah melanjutkan usia Tok Guru dan terus memimpin, bukan sahaja untuk rakyat Kelantan, kalau boleh untuk satu Malaysia tercinta ini! Insyaallah..

MINYAK OH MINYAK...AKHIRNYA..

Rabu, Disember 03, 2008, Posted by mr. admin, No Comment


Hari ni kita sama-sama menikmati harga baru petrol dan diesel. Walaupun ada yang mengatakan harga baru ni sepatutnya lebih murah. Ini berdasarkan kepada harga minyak dunia yang berada pada paras USD 50 per tong.

Benarlah dakwaan sesetengah pakar ekonomi seperti yang dinyatakan oleh Anwar semasa berdebat dengan Shabery Chik dulu yang mengatakan harga minyak akan kembali turun apabila ia telah mencapai suatu break point. Kemudian, harganya akan turun sebagaimana yang dialami sekarang selain dibantu dengan faktor kelembapan ekonomi yang menyebabkan berkurangnya permintaan terhadap minyak diperingkat global.

Saya tak berminat nak mengulas tentang kedudukan Malaysia sebagai negara pengeluar, tetapi harganya masih mahal. Pada hemat saya, kebanyakan orang dah pun tahu keadaan ni. Cuma yang mengecewakan adalah langkah kerajaan yang tergopoh-gapah yang menaikan harga minyak sehingga menyebabkan harga barang dan perkhidmatan turut melambung.

Apapun, dakwaan harga minyak tak boleh diturunkan di Malaysia merupakan hujah lapok yang tak boleh dipakai lagi. Hakikatnya hari ni, harganya boleh dikurangkan. Jadi, sapa kata tak boleh? Ini saja je nak menakut-nakutkan rakyat. Bagi alasan macam-macam kononnya negara akan muflis bila harga minyak turun. Ni harga minyak dah turun, tak muflis pun!

Lain-lain artikel yang berkaitan :

Eksklusif minyak turun lagi kali ke-6

10 sen jee..bukan 15 sen kee?

Akhirnya petrol kembali ke harga asal

PAK LAH: TURUNLAH HARGA BARANG

Selasa, Disember 02, 2008, Posted by mr. admin, 4 Comments


PUTRAJAYA 1 Dis. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) memastikan harga barangan di negara ini diturunkan selaras dengan penurunan harga minyak dan ia mestilah merupakan barangan kegunaan harian rakyat.

Sambil menyatakan rasa kesal dengan sikap liat sesetengah peniaga menurunkan harga barang setiap kali harga minyak diturunkan, Perdana Menteri secara sinis berkata, peniaga terbabit sewenang-wenang menaikkan harga barangan tanpa disuruh apabila harga minyak naik...baca selanjutnya.

Andainya rasa menyesal tu boleh ringankan beban rakyat dengan penurunan harga barang tak mengapalah. Takut-takut menyesal je, tapi keadaan tetap sama. Kerana peniaga ni nak kisah apa dengan kekesalan Pak Lah tu.

Ni lah harga yang patut kita bayar atas kegopohan menaikan harga minyak tempoh hari. Tapi nak buat macam mana, pemimpin kita yang bijak pandai ni kata kalau kita tak naikkan harga minyak negara boleh bankrup.

Kita ni rakyat biasa manalah tau sangat pasal ekonomi ni. Tapi sekarang ni, harga minyak dah diturunkan negara kita tak muflis pun. Habis tu, sapa yang terer sangat hari tu kata minyak turun negara bankrup?

Hari ni, harga barang masih lagi mahal walaupun harga minyak dah diturunkan sebanyak 5 kali. Keadaan ni umpama bencana banjirlah. Apabila banjir, air yang naik tu akan bawa bersama sampah, lumpur dan segala macam benda masuk dalam rumah. Setelah air surut, maka akan tinggallah segala macam benda dalam rumah kita tu. Dah tentu kena ambil masa nak cuci rumah yang dimasuki air tu. Tu tak kira lagi dengan peralatan elektrik dan perabut yang rosak. Memang serabut kepala otak!

Macam tulah hal keadaannya dengan situasi kenaikan harga barang yang kita alami sekarang ni. Peniaga ni memang liat nak turun harga bila dah naik. Mereka akan bagi alasan bil elektrik pun masih tak turun dan kos pengeluaran yang masih tinggi. Kalau macam ni, sampai bila pun harga barang tak turun.

Ni TNB pun satu, harga minyak dunia dah turun tak reti-reti lagi ke? Apa alasan mereka nak bagi lepas ni taulah. Macam jugak harga tambang bas yang masih mengenakan surcaj 30%. Menurut bapak menteri yang bijaksana tu, harga tiket terpaksa dinaikkan dengan alasan alat ganti kenderaan masih tinggi. Oh, tidak!

BAHTERA BN BACOR PULAK KE?!

Isnin, Disember 01, 2008, Posted by mr. admin, One Comment

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Hrkh) - Parti Progresif Rakyat (PPP) akan keluar dari Barisan Nasional (BN) jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dipinda sebelum pilihan raya umum akan datang, kata Presiden parti, Dato' M Kayveas...baca selanjutnya.
Sebuah kapal bila yang dah tua, banyaklah rosaknya. Rosak sana, rosak sini. Bocor sana, bocor sini dan akhirnya menanti masa untuk tenggelam. Dah la banyak yang rosak tentulah ada bahagian yang nak kena ganti. Malangnya, alat ganti pulak dah tak ada dipasaran. Maklumlah, dah 50 tahun lebih!

Mungkin tu satu analogi yang boleh saya buat tentang keadaan BN sekarang ni. Hakikat yang harus diakui oleh pendokong-pendokong kapal tua itu adalah mereka bukan sahaja menghadapi musuh dari luar. Dalam masa yang sama, mereka juga berhadapan dengan serangan musuh dari dalam.

Di antara serangan paling teruk adalah dari bekas kapten, Tun Mahathir Mohamad. Walaupun Tun Mahathir dah keluar dari UMNO, tapi hakikatnya darah Tun masih lagi cap keris. Saya melihat tindakan Tun tu merupakan rajuk orang tua terhadap anaknya. Merajuk tu merajuk jugak. Tapi sayang tu tetap ada. Kalau tak sayang, buat apa nak kecoh-kecoh bila dia dah keluar dari UMNO? Maknanya sayang lagi la tu.

Lepas SAPP mengumumkan keluar dari BN, hari ni Parti Progresif Rakyat (PPP) yang merupakan salah satu lagi komponen BN mengugut untuk keluar dari BN. Mengusutkan lagi keadaan apabila salah seorang pemimpin UMNO peringkat bahagian mengeluarkan kenyataan mencabar PPP keluar segera dari BN.

Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, berkata kenyataan presiden parti itu Datuk M Kayveas semalam bahawa PPP akan keluar daripada BN jika kerajaan tidak meminda Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) sebelum pilihan raya umu ke-13, adalah berbaur ugutan jahat dan amat menyakitkan hati...baca selanjutnya.
Dahla bahtera nak karam, anak-anak kapalnya bukannya berusaha nak baiki keadaan tapi duk bercakaran pulak. Habis tu, boleh harap ke dengan kapal yang nak karam ni? Adakah kita masih nak menumpang dengan bahtera ni?

Kapal dah nak karam, tak perlulah kita berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya. Nanti tak pasal-pasal kita pun tenggelam sama. Cari saja kapal lain yang lebih selamat!

NAK BAGI KE TAK?

Khamis, November 20, 2008, Posted by mr. admin, 3 Comments

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Pengguna kenderaan persendirian Kelas 1 yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Elite dari 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menerima diskaun tol 10 peratus untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, selain itu, diskaun tambahan 10 peratus juga akan turut diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas dalam tempoh dan waktu yang sama...selanjutnya.

Tol turun?! Wah, bestnyer. Ringanla sikit beban pengguna lebuhraya. Tapi....

Dengar berita camni memang sungguh 'merdu' iramanya. Tapi bila selidik lebih dalam tak ke mana jugak. Pi mai pi mai tang tu jugak! Terutama orang macam aku yang tak suka drive tengah-tengah malam buta.

Ingatkan boleh la nak seronok sikit bila dah dengar khabar nak turun harga tol. Harapan hanya tinggal harapan jelah nampak gayanya. Oh, Malaysiaku...Aku tertipu lagi! Tapi dalam surat khabar, punyalah gah berita ni. Duk muka depan sekali. Tak percaya, tengokla Utusan Meloya!

Dengan hanya diskaun 10% yang akan diberikan pada jam 12 tengah malam hingga 7 pagi, aku rasa macam tak berbaloi. Kalau RM10, baru kurang RM1.

Huh, memang tak praktikal langsung! Macam tak mau bagi jer..

Lain-lain artikel untuk dibaca:

Plus bermurah hati
Diskaun Plus tak ikhlas
Diskaun tol 10 peratus
Plus cuba bodohkan rakyat

NVG MELETUP: MANA SILAPNYA?

Ahad, November 09, 2008, Posted by mr. admin, One Comment


"NGV meletup? Camtula orang kita...Pandai tak bertempat." "Ala, nak jadi Mc. Gyver lah tuuu.."

Mungkin begitulah persepsi segelintir di kalangan kita apabila memberi reaksi terhadap kejadian tangki gas NGV meletup di Melaka. Terpulanglah jika anda juga mempunyai persepsi sedemikian. Namun, saya lebih melihat situasi ini dari sudut berbeza. Saya rasa kita tak boleh samakan kejadian ini dengan situasi mat rempit yang terlajak terer lebih daripada Jepun tu. Atau budak-budak kampung yang pakar dalam aktiviti membuat meriam ala Taliban.

Ini kerana, mat rempit dan 'pakar letupan' tu bijak dalam situasi mencari hiburan dan keseronokan. Manakala dalam kes NGV meletup ini, si pembuatnya lebih kepada daya usahanya untuk menyelesaikan masalah untuk mengurangkan kos bahan api yang mahal di negara kita, walaupun diperingkat global harga sudah mulai merudum. Ya, siapa tahu mangsa yang terlibat merupakan seorang peniaga yang bekerja untuk mencari nafkah hidup bagi tujuan menyara diri?

Kita perlu ingat, kos pemasangan NGV untuk sebuah kenderaan mencecah ribuan ringgit. Kalau tak silap, paling kurang pun dalam RM2000 siap dengan upahnya. Tu tak masuk lagi kos nak ke Puspakom. Bayangkan dengan jumlah yang sebanyak itu, ia pasti mendatangkan beban bukan sedikit bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Kos untuk setiap kali mengisi NGV memang murah berganda-ganda berbanding petrol atau diesel. Dengan menukar penggunaan petrol kepada NGV merupakan satu langkah bijak untuk jangka masa panjang. Tapi, kos pemasangannya tu membuatkan kita terkedu!

Dengan segala macam kos kehidupan yang dah meningkat sekarang, maka wujudlah individu yang cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan cara sendiri. Dah nak tukar secara 'sah' agak mahal, gunalah tong gas memasak. Murah la sikit kot.

Saya biasa membeli sebiji tong gas yang berisi dengan harga RM70. Tapi dulu la, sebelum Pak Lah jadi PM. Sekarang ni, tak tau la pulak. Ok, katakan tong gas tu dah jadi RM90 sekarang ni. Campur dengan lain-lain kos hos, upah dan lain-lain, mungkin harganya lebih kurang RM800. (Andaian saya sahaja).

Nak banding RM800 dengan RM2000 memang jauh berbeza. Baki lagi RM1200 tu boleh buat macam-macam. Walaupun tak boleh ditebus dengan nyawa, tapi besar rahmatnya bagi golongan yang berpendapatan rendah.

Saya yakin, mangsa mungkin tak tau kesan menukar tangki gas tersebut. Kalau dia tahu, mesti dia dah fikir 10 kali. Atau terus membatalkan hasratnya.

Perkara dah pun berlaku. Mangsa dah pun selamat dikebumikan. Hanya Al-fatihah yang mampu disedekahkan. Yang masih hidup ni, jadikanlah pengajaran.

Kepada yang berkenaan, bukalah mata luas-luas. Jangan duk ingat nak isi perut, perut dan perut sendiri jer. Ni rakyat dah terkorban kerana harga petrol atau kos sara hidup dah makin tinggi. Jangan duk buat-buat tak reti. Jangan sampai ada yang nak guna nukler plak buat bahan bakar. Kalau tak reti nak buat apa, yang duk ada tu turunlah dari 'singgahsana', bagi yang tau pulak uruskan.

Dulu tak der pun jadi camni. Habis tu, salah siapa? Haa, ni nak petik kata-kata Nabil ni, " Lu pikir la sendiri."

BILA MUFTI BERSAJAK...

Khamis, Oktober 09, 2008, Posted by mr. admin, No Comment

Kadang-kala mufti juga perlu mempelbagaikan cara dakwah. Walaupun asas dakwah adalah berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah, sekali sekala kena juga guna pantun, puisi dan gurindam. Mungkin ni yang dilakukan oleh Mufti Perlis, S.S Dr Asri Zainal Abidin. Hari tu beliau berpantun. Hari ni bersajak pula.

Kedua-dua karya seni beliau tu memang tepat maksudnya bagi orang yang berakal. Kalau yang 'terkena' tu tak faham jugak, tak tau la. Mungkin dan ditutup pintu keinsafan dah tertutup. Yang terbuka pintu reban ayam agaknya.

Kali sajak yang dinukilkan beliau berkisar tentang isu perletakan jawatan sebagai Mufti Perlis. Kita dah sedia maklum, asas perletakan jawatan beliau adalah disebabkan 'permainan pulitikus' ala silap mata.

Teringat saya akan sebuah hadis yang menyebut bahawa ulama' itu pewaris nabi. Maknanya, keutamaan nasihat yang paling kita kena ikut tentulah ulama'. Kalau antara cakap ulama' dengan orang lain, nak dengar cakap sapa? Tanya soalan tu kat saya, dah tentu saya jawab ulama' sebab mereka ni pewaris nabi.

Tapi kena ingat jugak. Menurut Imam Al-Ghazali, Ulama' ni terbahagi kepada dua. Ada ulama' yang berani menyatakan kebenaran walaupun berhadapan dengan pemerintah yang toghut. Dan juga ulama' yang jenis kaki angguk, ampu sana wa ampu sini. Ulama' jenis ampu sana-sini ni juga dikenali sebagai ulama' su' (ulama' jahat) yang boleh diibaratkan seekor burung kakak tua yang bertutur mengikut kemahuan tuannya.

Maka atas kapasiti beliau sebagai mufti dan tak mahu digolongkan sebagai ulama' ampu, pelbagai teguran telah dibuat. Saya yakin, teguran yang dibuat adalah berlandaskan syariat dan ilmunya yang mendalam tentang hukum-hakam. Antaranya tentang isu ISA, Perdana Menteri bertafakur kat tugu negara, isu liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan pelbagai lagi.

Benarlah peringatan Rasulullah tentang suatu zaman. Zaman apa? Zaman dimana ulama' tidak dihormati lagi dan hanya menjadi 'kupang tembaga' dalam masyarakat.

Apapun, jom kita hayati sajak terbaru beliau ni..

TURUN 10 SEN: Syukur tapi.....

Khamis, September 25, 2008, Posted by mr. admin, One Comment

"Ai, sekupang jer?"
"Okla tu...Dari tak dapat langsung."
"Naik punya banyak, turun ciput jer!"

Hari ni Kerajaan Pimpinan Pak Lah umumkan harga petrol turun 10 sen berkuat kuasa mulai 25 September. Bak kata orang utara, "alahai, sekupang jer?".

Memang saya juga rasa bersyukur dengan harga baru ni. Walaupun sebenarnya nilai 10 sen tu tak mampu nak beli sebiji kuih kat bazar ramadhan pun. Mungkin ni juga keputusan 'populis' kerajaan nak tawan hati rakyat yang kebanyakkan dah mual dan muak.

Penurunan harga petrol sebanyak ini sebenarnya masih belum cukup untuk meredakan kegelisahan rakyat kenaikan harga barang dan juga inflasi. Menurut laporan, kadar inflasi Malaysia pada bulan Ogos adalah 8.5%. Satu kadar yang tinggi sejak 27 tahun yang lalu! Semuanya gara-gara minyak.

Kadar inflasi telah melonjak ke paras 8.5 peratus pada bulan Ogos - yang tertinggi dalam tempoh 27 tahun - ekoran peningkatan harga makanan dan bahanapi, demikian menurut angka rasmi yang dikeluarkan hari ini.

"Ianya tinggi sedikit daripada yang dijangkakan, tetapi Bank Negara tidak akan menaikkan kadar faedah untuk memastikan pertumbuhan," kata Wan Suhaimi Saidi, ahli ekonomi dari Kenanga Investment Bank.

"Ianya tinggi sedikit daripada jangkaan saya. Saya jangka 8.4 peratus. Saya tidak fikir kerajaan akan menaikkan kadar faedah penting. Ia akan dikekalkan pada kadar 3.50 peratus sehingga akhir tahun untuk menyokong pertumbuhan," katanya kepada AFP.

Jabatan Perangkaan telah menyemak semula dengan menurunkan angka inflasi bagi bulan Julai kepada 8.3 peratus. Ia sebelum ini meletakkan kadarnya pada 8.5 peratus... Baca selanjutnya

Saya percaya, harga baru ini tidak akan dapat memberi impak yang berkesan terhadap kadar inflasi negara. Kesan kenaikan bahan bakar pada awal Jun yang lalu masih dirasai. Kalau tak percaya, esok lusa pergi la ke kedai buat tinjauan sendiri. Ada tak harga barang-barang yang turun? Potong jari la kalau ada. Sapa nak turun harga dengan mudah?

Maknanya, 'kerosakan' ekonomi akibat kenaikan yang lalu jelas masih ketara dan tak dapat 'dibaiki' dengan nilai 10 sen ini. Tapi, orang dah bagi ambik jelaa...

Silakan baca artikel di bawah ni:

Duit raya sekupang, inflasi naik 8.5 peratus

Duit raya RM0.10 tak mainla

Kadar inflasi tertinggi dalam masa 27 tahun

UIH, BAHAYANYA ANWAR!

Khamis, September 18, 2008, Posted by mr. admin, No Comment

Memang sejak akhir-akhir ni saya lebih berminat nak bicara tentang pergolakan politik negara. Bukan tak ada topik lain. Tapi buat sekarang ni memang isu perubahan tampuk pemerintahan negara menarik minat semua pihak. Termasuklah saya,hoho :-)

Hari ni Pak Lah melalui kenyataan media selepas mengumumkan pertukaran portfolio kementerian, menyifatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai individu yang sangat merbahaya kepada negara. Uih, takutnyerrrrrrrrrr dengan Anwar. Bahaya tuuuu, dah la suka meliwat, agen Yahudi, suka populis...Kini Anwar dilebelkan kononnya menjadi satu ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara!

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah menjadi satu ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.
Perdana Menteri berkata tindak tanduk Anwar selama ini bukan saja menjejaskan kestabilan politik tetapi juga kestabilan ekonomi.

"Berikutan tindak tanduk Anwar itu, terdapat pengurus dana yang membuat laporan kononnya Malaysia bukan tempat yang baik untuk membuat pelaburan kerana suasana politik negara yang tidak menentu," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan terhadap Anwar ekoran ancaman tersebut, Abdullah berkata kerajaan akan melakukan apa yang perlu. Klik di sini untuk berita penuh.
Betul ke bahaya sangat Pak Sheikh Anwar ni kepada keselamatan dan ekonomi negara? Sampai melabelkan dia sebagai orang yang boleh memporak-perandakan keselamatan negara.

Bahaya kepada negara ke atau bahaya kepada UMNO dan BN? Pada saya dakwaan bahaya kepada negara adalah satu yang tidak berasas. Tapi, kalau dikatakan 'merbahaya' kepada survival politik UMNO-BN?! Ehmmm, fikir-fikirkan sendiri la..

Apakah Anwar Ibrahim jelmaan 'Osama ben Laden' kepada kerajaan Malaysia?

MAIN KEJAR-KEJAR: Misi PKR berjaya?!

Isnin, September 15, 2008, Posted by mr. admin, 3 Comments


Kalau kita tengok berita sehari dua ni, ulasan yang diberikan oleh channel TV utama negara kita rata-rata mengatakan misi PKR menghantar 5 orang wakil ke Taiwan telah gagal. Ditambah pula dengan rakaman perbualan melalui telefon dengan Dr Fuad Zarkhasi (MP Batu Pahat-BN), menggambarkan apa yang ditayang dalam tv benar-benar belaka. Tidak ada tak benar, melainkan benar,benar,benarrrrr belaka.

Namun, apa yang saya perolehi dalam blog YB Fuziah Salleh (MP Kuantan-PKR) ni menceritakan sebaliknya. Berikut adalah sedikit petikan dari laman blog beliau :

Disini saya juga ingin menegaskan bahawa misi pemergian kami keTaiwan telah tercapai dan ianya sungguh berjaya. Our TRIP HAS BEEN HIGHLY SUCESSFUL IN MEETING IT’S OBJECTIVES . Saya juga menegaskan seterusnya bahawa rancangan 16 Sept is RIGHT ON TRACK. If not literally on the actual date, 16+1 sept or 16+2 Sept. or even 16+3 Sept Nantikan bersama demi masa depan baru untuk seluruh rakyat Malaysia. Kita telah menunggu 50 tahun. tidak lama lagi penantian ini akan berakhir.....Klik di sini untuk artikel penuh.
Ehmm, nampaknya ada dua percanggahan ni. Tak tau siapa yang betul. Tapi selalunya rangkaian TV di Malaysia ni memang berat sebelah. Yang tak betul semuanya Pakatan Rakyat. Jadi anda sendiri boleh buat ramalan. Bak kata Nabil, "lu fikir la sendiri!"

Disamping tu, elok juga anda baca artikel-artikel kat bawah ni:

Detik 916
Ahli nujum atau wali yang kashaf?
Lumba lari politik malaysia
Anwar Ibrahim agen Yahudi pulak dah

Selamat membaca kesemuanya! :-)