Navigation


RSS : Articles / Comments


Memaparkan catatan dengan label piliharaya kecil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label piliharaya kecil. Papar semua catatan

Mengantuk Ke Bang?

Isnin, Jun 01, 2009, Posted by mr. admin, No Comment


Orang mengantuk disorongkan bantal. Tapi, bila abang polis ni mengantuk, takde sapa pun yang nak sorongkan bantal. Gambar ni aku ambil dari sebuah blog. Menurut pemilik blog tu, gambar ni dirakam semasa piliharaya kecil Dun Penanti. Mungkin disebabkan kurangnya cabaran, lantas membuatkan abang polis ni tertidur agaknya :-)

Bila tengok gambar abang polis ni tertidur, teringat aku peristiwa yang hampir sama pernah berlaku kat aku. Kejadian lucu ni berlaku kira-kira 8 tahun yang lalu. Masa tu aku mengikuti Perkhemahan Asas St John Ambulance untuk maktab-maktab perguruan zon timur.

Ditakdirkan, aku ditugaskan sebagai pengawal malam. Shift aku dari pukul 3-5 pagi. Dah la siang padat dengan macam-macam aktiviti, malamnya kena berjaga la pulak. Aku ditugaskan mengawal bersama seorang lagi rakan seplatun.

Oleh kerana terlalu mengantuk, aku tertidur semasa bertugas. Tidur sambil duduk macam abang polis dalam gambar ni la! Syok punya tidur, tetiba Kem Komandan aku datang buat spot check. Apa lagi, kontai la aku malam tu. Tak pasal-pasal kena pumping 20 kali. Fuh, hilang mengantuk. Dalam hati, punyalah bengang. Kawan aku pun sama tidur gak. Dua-dualah kena denda.

Tapi, tu semua tinggal memori dalam hidupku akan terus dikenang.

Kalaulah aku sekadar ahli St John biasa boleh kena denda macam tu, apa akan jadi kat abang polis ni kalau dia pun terkantoi macam aku? Lu pikirla sendiri!

Moralnya, jujurlah dalam pekerjaan yang anda lakukan.

KITA SEDANG MENUJU REVOLUSI?

Selasa, Februari 10, 2009, Posted by mr. admin, 3 Comments

Hakikat kejatuhan Kerajaan Perak di bawah Pakatan Rakyat hari ini adalah disebabkan permainan kotor oleh pihak yang rakus, haloba dan rakus dengan kuasa. Walaupun ada pihak yang cuba menafikan fakta ini, namun rakyat tidak buta dan pekak. Mungkin bagi mereka yang masih mempercayai media utama di negara ini sebagai ’kitab panduan’ dan ’pedoman hidup’ sahaja cuba menafikan semua ini.

Persoalannya sekarang, apakah negara kita sedang menuju kepada cara pembentukan kerajaan baru melalui revolusi?

Pelbagai pihak telah memberi pendapat tentang penubuhan kerajaan baru Perak secara perundangannya atau tidak. Ada yang mengatakan ia sah dari segi undang-undang. Ada yang kata ia perlu ditentukan oleh rakyat melalui pilihanraya. Dan ada juga yang kata mengatakan keputusan Sultan Perak tidak perlu dipertikai.

Secara peribadi, saya berpendapat segalanya harus dipulangkan semula kepada rakyat. Dalam kata lain, biar rakyat yang menentukan melalui peti-peti undi kerana ini merupakan hak rakyat yang telah dijamin dalam perlembagaan. Rakyat Perak sahaja yang berhak menentukan kerajaan mana yang bakal dipilih dan bukan ditentukan melalui jalan belakang dalam istana.

Apa asas perlu diadakan pengundian semula?

Rasanya tidak perlu saya huraikan apa itu demokrasi. Saya kira, kita semua telah memahaminya secara asas walaupun tidak mendalam. Cukup dengan hanya memahami, pihak yang mendapat sokongan paling banyak dikira berhak menerajui sesebuah organisasi.

Malangnya, apa yang telah berlaku di Perak adalah sebaliknya. Kerajaan Pakatan tumbang bukan melalui undi rakyat tetapi melalui cara melompat oleh wakil rakyat yang dipilih.

Apa hak wakil rakyat yang dipilih melompat? Setelah rakyat memilih seseorang calon, asasnya rakyat memilihnya kerana bertanding atas tiket parti, bukan individu. Walaupun ada rakyat yang memberi undi berdasarkan calon, saya kira itu mauduk lain yang boleh dibincangkan. Tetapi, secara keseluruhannya rakyat memilih atas dasar parti kerana parti yang berjaya menguasai Dewan Rakyat itu nanti akan menentukan dasar-dasar sesebuah negara.

Bersandarkan kepada hujah di atas, apabila seseorang wakil rakyat telah melompat secara automatik ia sebenarnya telah berubah warna atau keluar dari pasukan yang diwakilinya. Hakikatnya, dia terpilih berdasarkan pasukan yang diwakilinya.

Revolusi alternatif kepada demokrasi tempang?

Pandangan saya, sekiranya perkara ini terus dibiarkan tidak mustahil akan berlaku satu gelombang kebangkitan rakyat atau lebih mudah disebut sebagai revolusi atau reformasi. Menifestasi kepada rasa ketidakpuasan hati yang telah meluap-luap.

Apabila kepercayaan rakyat sudah mulai musnah dan hancur melalui saluran demokrasi, saya khuatir rakyat akan turun ke jalanraya menyatakan bantahan. Bayangkan dalam jumlah jutaan rakyat yang keluar berarak, mampukah pihak keselamatan mengawal keadaan melalui FRU dan polis? Tidak mustahil akan berlaku pertumpahan darah!

Kita semua tidak mahu berlaku sebarang ketidaktentuan, huru-hara seperti yang telah Thailand dan Indonesia. Biarlah kita sama-sama menentukan secara aman dan boleh diterima oleh semua pihak.

Tetapi, adakah pihak pemerintah sekarang sanggup menghadapi pertandingan dalam suasana yang seimbang bagi kedua-dua pihak? Bolehkah ruang dalam media utama dibuka seluas-luasnya untuk parti-parti yang bertanding? Beranikah kita semua menyediakan satu bentuk kawalan terhadap aktiviti lompat parti di kalangan wakil rakyat?

Adalah tidak adil untuk mengatakan melompat parti adalah halal sekiranya ia memberikan faedah kepada pihak kita dan haram sekiranya ia merugikan. Tidak kira dari mana-mana pihak, melompat ini seharusnya diharamkan dan satu mekanisme perlu diperkenalkan untuk membendung perkara ini. Perkara ini perlulah difikirkan oleh pihak yang berkenaan.

Suburkan demokrasi.

Demokrasi yang subur, telus dan adil akan menjadi pemangkin kepada kestabilan politik sesebuah negara. Pernahkah kita melihat rakyat Amerika atau Britain turun berdemontrasi akibat tidak puas hati dengan pengendalian pilihanraya di sana? Sudah tentu tidak.

Saya tidak berniat mengatakan mereka baik dalam serba-serbi, tapi tidak salah jika kita jadikan ia sebagai satu penandaaras yang harus kita capai dalam amalan demokrasi di negara tercinta ini.

GELORA DI PERAK: Mampukah PR Mengharunginya?

Ahad, Februari 01, 2009, Posted by mr. admin, One Comment

Memang kecoh sehari dua ni dengan kisah dua Exco Kerajaan Negeri Perak yang dilaporkan 'diculik'. Kehilangan keduanya memang menjadi tanda tanya dikalangan keluarga dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Akhirnya, persoalan itu terjawab apabila dilaporkan, keduanya telah meletak jawatan sebagai adun dan membolehkan satu pilihanraya kecil dijalankan dalam tempoh 60 hari. Hai, pilihanraya lagi ke?!

Persoalannya, apakah perletakkan jawatan ini disebabkan adanya tekanan dari pihak tertentu bersabit pertuduhan rasuah yang dihadapi oleh mereka berdua? Diulangi, pertuduhan, bukan lagi disabitkan kesalahan rasuah. Maknanya tak tau betul ke tak mereka bersalah!

Jika ada yang menekan, siapakah gerangan makhluk yang membuat tekanan tu? Apa tujuannya? Adakah ada muslihat untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di sana?

Terlalu banyak persoalan yang timbul sekarang. Antaranya, adakah kedua exco telah dijanjikan habuan dunia sehingga gelap biji mata?

Sekiranya benar keduanya telah disogok, saya rasa kepimpinan PKR harus lebih berhati-hati dalam memilih calon mewakili parti itu di masa akan datang. PKR juga kena belajar bagaimana PAS mentarbiyah wakil rakyatnya yang tidak tergoda dengan habuan duniawi ni. Asasnya, PAS berjaya mempertahankan Kerajaan Kelantan dengan majoriti satu kerusi selepas Pilihanraya Umum 2004 dan Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir 2005. Maklumat yang diperolehi, wakil rakyat PAS ketika itu telah ditawarkan dengan habuan yang cukup lumayan jika bertindak melompat parti. Namun, tawaran tu tidak mendapat tempat dihati wakil rakyat PAS di Kelantan yang telah ditarbiyah oleh Tok Guru Nik Aziz.

Dalam kes exco Perak ni, saya tak taulah sama ada mereka disogok atau sebaliknya. Tak mahulah saya buat apa-apa tuduhan. Cuma andaian saja.

Apapun, kita tunggu sajalah drama yang semakin menarik di Perak ni! Semoga Allah menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat, amin.

SEMBANG LEPAS PILIHANRAYA KECIL

Ahad, Januari 18, 2009, Posted by mr. admin, 2 Comments

Setelah berhari-hari berhempas pulas menyusun strategi, memberi penerangan dan berkempen, akhirnya rakyat Kuala Terengganu membuat keputusan dengan memberi kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Rakyat Kuala Terengganu telah membuat suatu swing yang mungkin menjadi tanda-tanda Empayar BN-UMNO akan roboh tidak lama lagi. Menurut sesetengah blogger, swing vote yang dilakukan lebih kurang 5%, seperti yang dinyatakan dalam edyesdotcom.

Apa komen pemimpin BN? Biasala, antara ayat penyedap hati yang selalu dilontarkan tatkala tewas ialah, "ini membuktikan demokrasi tetap subur di Malaysia."

Boleh terima ke kata-kata macam tu? Dengan BN diberi peluang menggunakan segala media utama serta jentera kerajaan untuk berkempen, tanpa memberi ruang dan luang yang cukup kepada pembangkang untuk berkempen, dan itu dikatakan demokrasi Malaysia subur? Oh, suburnya!

Selain tu, undi pos juga sering menjadi tanda tanya dari segi ketelusannya di kalangan parti-parti pembangkang. Bayangkanlah, dalam karung undi pos di Kuala Terengganu semalam, lebih 1000 undi memihak kepada BN. Hanya 86 undi sahaja memihak kepada calon PAS. Logik ke? Mungkin ada yang mengatakan ia tidak mustahil. Tapi dengan keadaan sekarang ni, kuat sangat ke sokongan anggota polis dan tentera kepada BN? Hanya Allah yang tahu.

Secara peribadi, saya yakin jika demokrasi benar-benar telus, BN akan mengalami kekalahan yang lebih teruk dari itu. Apapun, sehebat mana perancangan yang dibuat oleh manusia untuk membuat tipu helah, namun ia tidak dapat menandingi perangcangan dari langit!

Lain-lain ulasan pilihanraya Kuala Terengganu:

Rakyat sudah sedia berubah bantulah
Mahathir mula bodek Najib