Navigation


RSS : Articles / Comments


KITA SEDANG MENUJU REVOLUSI?

Selasa, Februari 10, 2009, Posted by mr. admin, 3 Comments

Hakikat kejatuhan Kerajaan Perak di bawah Pakatan Rakyat hari ini adalah disebabkan permainan kotor oleh pihak yang rakus, haloba dan rakus dengan kuasa. Walaupun ada pihak yang cuba menafikan fakta ini, namun rakyat tidak buta dan pekak. Mungkin bagi mereka yang masih mempercayai media utama di negara ini sebagai ’kitab panduan’ dan ’pedoman hidup’ sahaja cuba menafikan semua ini.

Persoalannya sekarang, apakah negara kita sedang menuju kepada cara pembentukan kerajaan baru melalui revolusi?

Pelbagai pihak telah memberi pendapat tentang penubuhan kerajaan baru Perak secara perundangannya atau tidak. Ada yang mengatakan ia sah dari segi undang-undang. Ada yang kata ia perlu ditentukan oleh rakyat melalui pilihanraya. Dan ada juga yang kata mengatakan keputusan Sultan Perak tidak perlu dipertikai.

Secara peribadi, saya berpendapat segalanya harus dipulangkan semula kepada rakyat. Dalam kata lain, biar rakyat yang menentukan melalui peti-peti undi kerana ini merupakan hak rakyat yang telah dijamin dalam perlembagaan. Rakyat Perak sahaja yang berhak menentukan kerajaan mana yang bakal dipilih dan bukan ditentukan melalui jalan belakang dalam istana.

Apa asas perlu diadakan pengundian semula?

Rasanya tidak perlu saya huraikan apa itu demokrasi. Saya kira, kita semua telah memahaminya secara asas walaupun tidak mendalam. Cukup dengan hanya memahami, pihak yang mendapat sokongan paling banyak dikira berhak menerajui sesebuah organisasi.

Malangnya, apa yang telah berlaku di Perak adalah sebaliknya. Kerajaan Pakatan tumbang bukan melalui undi rakyat tetapi melalui cara melompat oleh wakil rakyat yang dipilih.

Apa hak wakil rakyat yang dipilih melompat? Setelah rakyat memilih seseorang calon, asasnya rakyat memilihnya kerana bertanding atas tiket parti, bukan individu. Walaupun ada rakyat yang memberi undi berdasarkan calon, saya kira itu mauduk lain yang boleh dibincangkan. Tetapi, secara keseluruhannya rakyat memilih atas dasar parti kerana parti yang berjaya menguasai Dewan Rakyat itu nanti akan menentukan dasar-dasar sesebuah negara.

Bersandarkan kepada hujah di atas, apabila seseorang wakil rakyat telah melompat secara automatik ia sebenarnya telah berubah warna atau keluar dari pasukan yang diwakilinya. Hakikatnya, dia terpilih berdasarkan pasukan yang diwakilinya.

Revolusi alternatif kepada demokrasi tempang?

Pandangan saya, sekiranya perkara ini terus dibiarkan tidak mustahil akan berlaku satu gelombang kebangkitan rakyat atau lebih mudah disebut sebagai revolusi atau reformasi. Menifestasi kepada rasa ketidakpuasan hati yang telah meluap-luap.

Apabila kepercayaan rakyat sudah mulai musnah dan hancur melalui saluran demokrasi, saya khuatir rakyat akan turun ke jalanraya menyatakan bantahan. Bayangkan dalam jumlah jutaan rakyat yang keluar berarak, mampukah pihak keselamatan mengawal keadaan melalui FRU dan polis? Tidak mustahil akan berlaku pertumpahan darah!

Kita semua tidak mahu berlaku sebarang ketidaktentuan, huru-hara seperti yang telah Thailand dan Indonesia. Biarlah kita sama-sama menentukan secara aman dan boleh diterima oleh semua pihak.

Tetapi, adakah pihak pemerintah sekarang sanggup menghadapi pertandingan dalam suasana yang seimbang bagi kedua-dua pihak? Bolehkah ruang dalam media utama dibuka seluas-luasnya untuk parti-parti yang bertanding? Beranikah kita semua menyediakan satu bentuk kawalan terhadap aktiviti lompat parti di kalangan wakil rakyat?

Adalah tidak adil untuk mengatakan melompat parti adalah halal sekiranya ia memberikan faedah kepada pihak kita dan haram sekiranya ia merugikan. Tidak kira dari mana-mana pihak, melompat ini seharusnya diharamkan dan satu mekanisme perlu diperkenalkan untuk membendung perkara ini. Perkara ini perlulah difikirkan oleh pihak yang berkenaan.

Suburkan demokrasi.

Demokrasi yang subur, telus dan adil akan menjadi pemangkin kepada kestabilan politik sesebuah negara. Pernahkah kita melihat rakyat Amerika atau Britain turun berdemontrasi akibat tidak puas hati dengan pengendalian pilihanraya di sana? Sudah tentu tidak.

Saya tidak berniat mengatakan mereka baik dalam serba-serbi, tapi tidak salah jika kita jadikan ia sebagai satu penandaaras yang harus kita capai dalam amalan demokrasi di negara tercinta ini.

3 Comments

Sophia Chu @ 12 Februari 2009 pada 10:16 PG

revolusi x bgus ke? ;)

Tanpa Nama @ 12 Februari 2009 pada 6:57 PTG

revolusi kearah yg lebih baik adalah dialu-alukan!

Tanpa Nama @ 12 Februari 2009 pada 8:46 PTG

semoga esok lebih baik dari hari ini..