Presiden Kesatuan Eropah,Marc Barety melahirkan rasa kagum di atas corak pentadbiran yang diamalkan oleh pimpinan Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz di negeri Kelantan. Beliau berkata demikian, ketika mengetuai seramai 14 peserta lawatan sambil belajar terdiri daripada Duta dan wakil kesatuan Eropah (EU) yang berkunjung ke negeri Kelantan baru-baru ini...baca selanjutnya.
Beliau hanya dipanggil 'Nik Aziz' oleh musuh politiknya. Tak kiralah sama ada musuh itu berada diperingkat tertinggi parti atau hanya di peringkat akar umbi sahaja. Bagi kita menyanjunginya, gelaran 'Nik Aziz' tidak sepadan dengan ketinggian ilmu dan kewarakan yang dimiliki. Maka, sebagai pengiktirafan kita menggelarkannya Tok Guru atau Tuan Guru Nik Aziz walaupun panggilan itu tidak pernah diminta oleh insan sezuhudnya.
Buat mereka yang telah mengenalinya secara rapat, apatah lagi yang menyokong kuat pentadbiran yang diterajui oleh Ulamak tersohor ini, pengiktirafan telah lama diberikan secara ikhlas nun jauh disudut hati. Dengan perwatakannya yang zuhud, lemah lembut tapi tegas, ucapannya sedap didengar walaupun terkadang tajam bak belati, maka tiada lagi pengiktirafan paling tinggi yang wajar diberikan hanyalah dengan menggelarkannya dengan panggilan 'Tok Guru'. Kalau di Iran mungkin beliau setaraf 'Ayatollah-ayatollah' walaupun perbandingan itu tak cocok bagi kita yang menganuti fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Melihat kepada gaya hidupnya, cara beliau berpakaian, tak siapa pun menyangka itulah Menteri Besar Kelantan yang telah 18 tahun mentadbir Negeri Cik Siti Wan Kembang. Pergilah ke rumahnya di Pulau Melaka, Kelantan. Penulis sendiri telah ke sana ketika belajar di Kuala Terengganu dahulu. Hampir menitis air mata bila melihat rumah papan yang terbina bersebelah dengan masjid. Tiada pagar indah yang menghiasi pintu masuk ke kediamannya. Apatah lagi lampu neon yang bergemerlapan, tentu jauh sekali. Kadang-kala, dipinggir tangga rumah Tok Guru, kelihatan ayam itik tumpang bertenggek. Tak ada pengawal yang menghalaunya.
Hari ini Lim Guan Eng baru bercakap pasal Khalifah Umar Ibnu Aziz, salah seorang Khalifah terulung pada era pemerintahan Bani Umaiyyah. Tanpa kita sedar, kita telah lama memiliki seorang pemimpin yang seakan-akan Umar Ibnu Aziz walaupun sukar untuk dibandingkan keduanya. Namun, apa yang jelas terpampang di depan mata dan apa yang terkisah dalam helaian-helaian sejarah lama, cara hidup Tok Guru Nik Aziz saling tak tumpah seperti Umar Ibnu Aziz. Kenapa kita tak dapat melihatnya?
Walau apapun penghinaan yang diberikan kepada beliau oleh Mantan Perdana Menteri satu ketika dulu, namun dialah tetap Tok Guru yang disanjungi. Bukan berniat untuk mendewa-dewakan sesama insan, penulisan ini digarap untuk menyatakan sokongan kepada seorang tokoh yang banyak berjasa sama ada dari segi ilmu agama ataupun dalam bentuk pemerintahan. Walaupun sesetengah pihak mendakwa Kerajaan Tok Guru tak buat apa-apa sepanjang pemerintahannya. Tak salah rasanya menyebarluaskan sesuatu kebaikan untuk dimanfaatkan oleh insan lain.
Nah, hari ini Tok Guru kita menerima pengiktirafan lagi.Kalau tak percaya, bacalah di sini.
Semoga Allah melanjutkan usia Tok Guru dan terus memimpin, bukan sahaja untuk rakyat Kelantan, kalau boleh untuk satu Malaysia tercinta ini! Insyaallah..